Rabu, 10 April 2013

Penangguhan Perjanjian Program MMRCA India

Aku ada terbaca di laman Facebook berkenaan 'gangguan' dalam perolehan pesawat MMRCA Indian Air Force melibatkan calon pilihan mereka iaitu Dassault Rafale.Pembelian yang sepatutnya dimuktamadkan pertengahan April ini ditangguhkan kerana terdapat beberapa isu perjanjian yang tidak dapat dipersetujui kedua-dua pihak.
Pelan asal pembelian 126 unit pesawat tempur baru oleh kerajaan India ialah untuk menggantikan ratusan pesawat MiG-21 yang bakal dipencenkan,dimana spesifikasinya berada diantara Su-30MKI yang canggih dan pesawat tempur ringan HAL Tejas.Di peringkat awal,India menyenaraikan calon-calon dari firma Dassault(Mirage 2000-5,Rafale),BAE/SAAB(JAS-39 Gripen),EADS/BAE (Eurofighter Typhoon),Lockheed (F-16 Block 70),Boeing (F/A-18 E/F Super Hornet)dan Rosoboronexport (MiG-35 TVC).Di peringkat akhir,hanya dua yang disenaraipendek sebagai calon utama iaitu Rafale (L1) dan diikuti Typhoon (L2);dimenangi oleh firma Dassault.
Kerajaan India meletakkan bajet antara $80-$110 juta untuk kos seunit dimana 18 unit akan dibeli siap untuk diterbangkan,manakala baki 108 akan dibina oleh HAL(Hindustani Aeronautic Limited) dibawah program transfer of technology(ToT) dalam masa enam tahun.Kos keseluruhan semasa itu dianggarkan $10.24 bilion(kos terkini hampir $20 bilion) dengan perjanjian pembelian termasuk ToT,lesen produksi,dan sokongan penyelenggaraan.

 

rafale_show9

Bagaimanapun isu yang timbul ialah firma Dassault meminta kontrak perjanjian dibuat berasingan antara pembelian 18 unit dan juga 108 unit yang bakal dibina oleh HAL.Antara isu lain ialah pihak Dassault meragui keupayaan dan kapasiti HAL untuk memasang pesawat tersebut.Perjanjian seperti ini begitu kompleks,dimana berlaku percanggahan berkenaan soal jaminan kualiti pesawat samada dibawah tanggungan HAL atau Dassault.
Desakan kementerian pertahanan India untuk meningkatkan hasil peralatan kententeraan buatan tempatan juga menimbulkan keraguan samada syarikat tempatan mempunyai teknologi maju dan pekerja terlatih untuk membina peralatan pertahanan yang sofistikated.Walaupun Dassault bersetuju untuk membekalkan peralatan dan kit pemasangan kepada pihak HAL,pihak Dassault tidak akan memainkan sebarang peranan didalam proses pemasangan.
Sekiranya keadaan berlanjutan,adakah India akan beralih kepada pilihan kedua (L2) iaitu Eurofighter Typhoon?
Rafale dan Typhoon adalah dua produk yang terhasil dari pecahan persepakatan negara-negara Eropah.Ianya boleh dikatakan seperti kolaborasi Jerman-Amerika yang mana akhirnya masing-masing membina kereta kebal utama Leopard dan M1 Abrams secara bersendirian.Perancis menarik diri dan membangunkan Rafale,manakala Typhoon dibina oleh Eurofighter GmbH,iaitu konsortium tiga buah syarikat,EADS,BAE dan Alenia Aeronautica.
Bezanya ialah setakat ini Eurofighter berjaya menjual Typhoon kepada Arab Saudi sebanyak 72 unit dan terdapat beberapa lagi negara berpotensi,manakala Dassault masih lagi mencari pelanggan luar yang pertama.Program MMRCA India ini adalah antara kontrak perniagaan yang besar,dan pastinya memberi impak berkaitan reputasi pembuat pesawat tempur yang terpilih sebagai pemenang.

Berita terbaru,Perancis ‘terpaksa’ mempersetujui tawaran kontrak bernilai hampir $20 bilion itu jika mahu menjual Rafale kepada India,dengan syarat Dassault akan menanggung jaminan untuk 108 unit pesawat Rafale hasil pemasangan HAL.
Bagaimana pula dengan Malaysia?Ramai menggemari Typhoon,tetapi harganya sangat mahal berbanding Rafale.Apapun,biarlah mereka-mereka yang berada di barisan hadapan membuat keputusan akhir untuk memilih pesawat tempur terbaik untuk bergandingan dengan Su-30MKM dalam mempertahankan ruang udara Malaysia.Disamping membeli pesawat,faedah untuk syarikat tempatan turut menjadi kriteria utama.

 

*Berkemungkinan besar IAF akan menambah kuantiti Sukhoi Su-30 sehingga berjumlah 200 unit dalam masa tiga atau empat tahun akan datang sekiranya perjanjian kontrak pembelian Rafale menemui jalan buntu.-dailypioneer

 

Sumber:

-defenceindustrydaily.com

-in.reuters.com

-timesofindia